Seorang lagi Nabi
Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda
diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan
sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa,Isa putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang
sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di
semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai
Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu
di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi
Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia
dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh
seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa
merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya
diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula dari
kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah. Ketika itu,
malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat
membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang
lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah memberi nama
kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia
(Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan
dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa
putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan.
Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu
tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga
menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan
tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan.
Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang
Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah
dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata
kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi
bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat
membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi
Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan
Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa
seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain menyuruh
Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan
kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya
di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda
diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya
adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga
memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang
namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau
Rasul yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga
yang tidak setia atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia
percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'" (3:52)
Begitu juga bagi
pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya
menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan menyampaikan
mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana
pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut
untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram.
Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya
berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan
permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi
mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam
al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada
kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan
dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi
Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada berkata
bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana,
seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul
dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti
kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib
tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di
bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas peristiwa
penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak diceritakan di
dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri dari
tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi,
sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah
membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang
berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi
kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam
al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu
tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat,
beberapa perkara telah berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku
pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau berpaderi, atau
sistem berulama dalam agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah.
Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian, antara
mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan
mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong dalam
kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah
didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka.
Buktinya adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya
makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia
mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan makanan yang tidak
diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di
bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu
disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau
anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan
mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa
menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga
akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda
ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda
berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku
pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih
ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar